Showing posts with label Al Hadith. Show all posts
Showing posts with label Al Hadith. Show all posts

Sunday, November 21, 2010

Kitab Yang Banyak Mengandungi Hadith Maudhu'

0 comments

Banyak buku buku agama yang beraliran sufi, kisah kisah para Nabi, Tafsir Al Quran, kitab kitab mengenai Targhib Dan Tarhib yang memuatkan hadith hadith maudhu' itu. Diantara kitab kitab yang dikenalpasti oleh para ulama' hadith banyak mengandungi hadith hadith maudhu' itu antara lain ialah :

  1. Qashashul Anbia' karangan Ath Tha'labi
  2. Kitab kitab karangan Al Hakim At Tirmizi
  3. Durratun Nasihin oleh Al Khubawi
  4. Kitab kitab Abu Jamrah
  5. Kitab kitab karangan Al Waqidi
  6. Washaya Imam 'Ali R.A
  7. Tanbihul Ghafilin dan Qurratul 'Uyun wa Mufarrihul Qalbil Mahzun karangan Abu Al Laith As Samarqandi
  8. Kitab Tafsir Ibnu Abbas dari riwayat Al Kalbi, As Suddi dan Muqatil
  9. Nuzhatul Majalis wa Munthakab'in Nafais karangan As Safuri
  10. Al Arba'un Al Wud'aniah
  11. Kitab Al 'Arus oleh Abu Al Fadhl Ja'far bin Muhammad bin Ali
  12. Kitab Fadhlul Ilmi oleh Syarafuddin Al Balkhi
Selain dari yang disebut diatas , terdapat banyak lagi makalah makalah atau pun terbitan risalah yang menyelitkan hadith hadith maudhu sebagai isinya terutamanya pada bab yang menyatakan fadhilat fadhilat yang besar pada usaha dan amal yang sedikit. 

Tokoh Pembuat Hadith Palsu

0 comments

Al Imam Al Hafiz Ibnul Jauzi mengatakan bahawa pembuat pembuat hadith palsu itu tak terkira jumlahnya. namun antara tokoh tokoh utama yang paling banyak diketahui mengeluarkan/membuat hadith hadith palsu ini adalah seperti berikut :

  1. Wahab bin Wahab , Al Qadhi, Abu Al Bakhtari Al Qurasy
  2. Muhammad bin As Saaib Al Kalbi
  3. Muhammad bin Sa'id As Syami Al Mashlub
  4. Abu Daud An Nakha'iy
  5. Ishaq bin Najih Al Malathi
  6. Giath bin Ibrahim An Nakha'iy
  7. Al Mughirah bin Sa'id Al Kufi
  8. Ahmad bin Abdullah Al Juwaibari
  9. Ma'mun bin Ahmad Al Harawi
  10. Muhammad bin 'Ukkasyah Al Karmani
  11. Muhammad Al Qasim Ath Thaikani
  12. Muhammad bin Ziad Al Yaskari
  13. Asban bin Jaafar An Numaiqi - yang telah membuat ribuan hadith untuk kepentingan golongan Karamiah
  14. Ibrahim bin Zaid Al Aslami
  15. Jabir bin Zaid Al Ju'fi - Ia membuat kira kira tiga puluh ribu (30ribu) hadith 
  16. Nuh bin Abi Maryam - yang telah membuat hadith hadith palsu mengenai keutamaan keutamaan Al Quran dan surah surah Al Quran
  17. Abdul Karim bin Abi Al Auja' - yang telah membuat empat ribu (4ribu) hadith dalam masalah halal dan haram
  18. Maisarah bin Abdu Rabbih - yang telah membuat beberapa hadith mengenai keutamaan keutamaan Al Quran dan tujuh puluh hadith mengenai keutamaan Ali bin Abi Thalib
  19. Al Harith bin Abdullah al A'war
  20. Muqatil bin Sulaiman Al Balkhi
  21. Ibnu Abi Yahya
  22. Abdul Quddus bin Habib Al Kala'iy
  23. Sulaiman bin 'Isa bin Najih
  24. Muhammad bin Harun bin 'Isa Al Hasyimi yang dipanggil dengan nama Ibnu Buryah
  25. Muhammad bin Ibrahim Asy Syami
  26. Yahya bin Al Ala'
  27. Abdul Ghafur bin Sa'id Al Wasithi
  28. 'Ishmah bin Muhammad Al Anshari
  29. Muhammad bin Yunus Al Kudaimi
  30. Yahya bin 'Anbasah dan ramai lagi yang lain lainnya yang kurang dikenali
Al Imam An Nasa'i berkata : 'para pembohong yang masyhur membuat hadith ialah 4 orang iaitu Ibnu Abi Yahya di Madinah, Al Waqidi di Baghdad, Muqatil bin Sulaiman di Khurasan dan Muhammad bin Sa'id Al Mashlub di Syam'.

Para ahli mengatakan, bahawa Al Juwaibari, Ibnu 'Ukkasyah dan Muhammad bin Tamim Al Faryabi masing masing telah membuat sepuluh ribu (10ribu) hadith maudhu'. Para zindiq dikatakan telah membuat hadith hadith yang banyak. Sebahagian firqah mereka sahaja telah membuat lebih kurang empat belas ribu (14ribu) hadith. Tatkala Ibnu Abi Al Auja' ditangkap dan hendak dipenggal lehernya, ia telah berkata : 'Aku telah membuat diantara kamu empat ribu (4ribu) hadith yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal'. 

Wallahua'lam

Pengertian Hadith Maudhu'

0 comments

Sejelek jelek dan seburuk buruk Hadith ialah Hadith Maudhu' iaitu hadith palsu yang didustakan kepada Rasulullah SAW, samada mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun perakuannya. Hadith dapat dikenalpasti sebagai maudhu' selalunya kerana pengakuan pembuatnya sendiri ataupun kerana orang yang berkenaan sangat terkenal dengan dustanya dan ianya pembuat hadith palsu. Para ulama' telah mengenal pasti dan telah menyenaraikan berpulun puluh bahkan beratus ratus nama orang orang pembohong dan pembuat Hadith Maudhu', Hadith yang diterima dari mereka kekal sebagai maudhu' kecuali ada mutabi' atau syahidnya dari riwayat perawi lain yang terpercaya (tsiqah).

Pembuatan hadith palsu ini bermula setelah Rasulullah SAW wafat dan berlakunya pertentangan arus politik, kemudian ia berkembang melalui perkembangan arus politik, asobbiah, fanatik mazhab dan beberapa faktor lain. Ia dilakukan oleh orang Islam sendiri yang lemah imannya dan juga oleh orang orang munafiqin dan kafir zindiq. Faktor faktor yang membawa kepada lahirnya Hadith Maudhu' adalah seperti berikut :

Politik

Setelah Rasulullah SAW wafat, timbul perpecahan dikalangan umat Islam kerana perbezaan pendapat mengenai Jabatan Khalifah, tentang siapakah yang lebih layak untuk menjabat jawatan yang sangat penting itu. Golongan Jumhur melantik Abu Bakr RA manakala pengikut Ali KW dengan tegas menyatakan bahawa Ali yang lebih berhak memegang jawatan khalifah, kerana Ali yang lebih layak dan lebih utama dari orang orang lain. Mereka mendakwa perkara itu telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW sebelum wafatnya, maka melantik orang lain selain dari Ali KW bererti merampas haknya. Bagi menguatkan hujjah hujjah maka mereka mendatangkan hadith yang menyatakan keutamaan Ali Bin Abi Thalib, seperti contoh :

"Barangsiapa ingin melihat Adam berkenaan ketinggian ilmunya, ingin melihat Nuh berkenaan taqwanya, ingin melihat Ibrahim berkenaan kebaikan hatinya, Ingin melihat Musa tentang kehebatannya dan ingin melihat Isa tentang ibadahnya, maka hendaklah ia melihat kepada Ali

Golongan Jumhur pula tidak ketinggalan membuat hadith hadith palsu untuk mempertahankan kedudukan mereka dan mematahkan hujjah golongan pengikut Ali KW. Seperti contoh :

"Tidak ada satu pohon pun didalam Syurga kecuali tertulis atas tiap tiap daunnya- Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, Abu Bakr As Siddiq, Umar Al Farouq dan Uthman Zun Nuraini"

Assobiah

Islam menentang sama sekali fanatik kebangsaan (assobiah) dan telah menyatukan manusia dibawah runtuhan assobiah itu dengan iman dan ukhuwwah. Semua manusia adalah sama dan tidak ada yang lebih utama daripada yang lain melainkan dengan ukuran taqwa kepada Allah. Setelah wafatnya Rasulullah SAW, maka penyakit assobiah jahiliah itu muncul kembali. Bermula dengan pertembungan antara kaum Ansar dan Muhajirin, kemudian antara qabilah suku Amawiah, Hasyimiah dan Abbasiah, seterusnya antara bangsa Arab dan bangsa Parsi.

Golongan yang fanatik kepada qabilah Umayyah membuat hadith seperti : "Orang orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril dan Mu'awiyah".

Golongan yang fanatik kepada golongan Hasyimiah dan Abbasiah membuat hadith hadith seperti : "Akulah kota ilmu dan Ali adalah pintunya" (Hadith ini agak popular juga di negara kita) dan juga contoh ; "Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli warisku". 

 Golongan fanatik Arab membuat hadith palsu tentang keutamaan bangsa Arab seperti : "Bahawasanya Allah itu apabila Ia rela, Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Arab dan apabila Ia murka, Ia menurunkan wahyu dalam bahasa Parsi"

Manakala golongan fanatik Parsi pula membalas hujjah dengan membuat hadith palsu seperti : "Bahawasanya Allah itu apabila Ia rela, Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Parsi dan apabila Ia murka, Ia menurunkan wahyu dalam bahasa Arab

Fanatik Mazhab

Perbezaan pendapat mengenai hukum hukum fiqh akhirnya menimbulkan fanatik mazhab yang membabi buta sehingga mereka sanggup membuat hadith hadith palsu.

Golongan yang fanatik kepada mazhab Hanafi mendatangkan hadith yang mereka ciptakan seperti : "Akan datang seorang lelaki didalam umatku yang dipanggil Abu Hanifah an Nu'man bin Thabit, dia adalah suluh umatku" . Diantaranya pula terdapat hadith yang berbunyi "Barangsiapa yang mengangkat kedua tangannya, maka tiada solat baginya".

Golongan yang fanatik kepada Mazhab Asy Syafi'ie pula membuat hadith seperti : "Aku (Muhammad) berimam kepada Jibril disisi Kaabah, maka ia mengeraskan bacaan Basmalah". 

Golongan yang fanatik kepada Ulama Al Kalam yang menyatakan Al Quran itu Qadim telah mebuat hadith : "Barangsiapa yang mengatakan bahawa Al`Quran itu baharu maka sesungguhnya telah kafirlah ia"

Manakala bagi golongan yang memusuhi Asy Syafi'ie sehingga sanggup membuat hadith : "Akan ada dalam umatku seorang lelaki yang bernama Muhammad bin Idris, dia lebih berbahaya ke atas umatku daripada Iblis"

Golongan Zindiq dan Munafiq

Banyak pula orang orang yang memeluk Islam samada secara pura pura, kerana takut, kerana mengikut orang ramai ataupun kerana sesuatu kepentingan duniawi. Golongan ini, terutamanya para zindiq dan munafiq memusuhi Islam secara tersembunyi, dan mereka berusaha pula untuk merosakkan Islam dari dalam dengan sengaja membuat banyak hadith hadith palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu hadith palsu (14ribu). Abdul Karim Al Auja sahaja telah mengaku membuat empat ribu (4ribu) hadith sekitar perkara halal dan haram. Diantara hadith hadith palsu yang diperbuat oleh mereka ialah :

  • "Aku (Muhammad) adalah penyudah segala Nabi, tiada Nabi lagi sesudahku, kecuali jika dikehendaki Allah"
  • "Bahawasanya Allah tatkala ia menjadikan huruf huruf, bersujudlah huruf 'Ba' dan tegak berdirilah huruf 'Alif'".
  • "Melihat kepada muka yang cantik itu satu ibadah"
  • 'Bahawasanya Allah itu tatkala hendak menciptakan diriNya, Ia menciptakan kuda dan memacu kuda itu, lalu kuda itu berpeluh, maka Ia pun menciptakan diri Nya daripadanya".
  • "Bahawasanya Allah mengadu sakit mataNya, maka para malaikat pun lalu melawatnya".
  • Allah Tabara wa Ta'ala menciptakan para malaikat dari rambut dua lenganNya dan bulu dadaNya ataupun dari cahaya bulu lenganNya dan bulu dadaNya".
  • "Tuhan kita turun pada petang hari Arafah diatas seekor unta berwarna kelabu, Ia berjabat tangan dengan penunggang penunggang dan berpelukan dengan orang yang berjalan kaki"
Ahli Ahli Bid'ah

Ada golongan sesat yang berpendapat, bahawa hadith hadith boleh dibuat untuk menarik orang ke arah melaksanakan ibadah. Menurut mereka, dusta kerana kebaikan adalah dibolehkan. Oleh itu golongan Al Karamiah (Pengikut Muhammad bin Karram As Sajistani) membuat hadith hadith mengenai targhib dan tarhib  dan Fadhailul Akmal. Nuh bin Abi Maryam dah Ghulam Al Ghalil membuat hadith hadith mengenai keutamaan surah surah Al-Quran. Dengan yang demikian, maka banyaklah tersebar dalam masyarakat Islam hadith hadith mengenai keutamaan amal dan lahirlah banyak amalan amalan bid'ah, yang sama sekali tidak berasal dari Sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana contoh :

"Tidak seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis awal bulan Rajab (solat Raghaaib) diantara Isya' dan 1/3 awal malam sebanyak 12 rakaat, ia memisahkah setiap rakaat dengan satu salam, ia membaca Al Fatihah sekali pada tiap tiap rakaat, Surah Al-Qadr sebanyak 3 kali , dan Surah Al Ikhlas sebanyak 12 kali, maka demi Allah yang diriku ini didalam tanganNya, tiada seorang pun yang melakukan solat ini melainkan Allah mengampuni semua dosanya walaupun sebanyak buih dilautan, walaupun sebanyak pasir, walaupun seberat timbangan gunung ganang dan dedaunan pokok, dan Ia akan memberi syafa'at pada hari Qiamat kepada 700 ahli rumahnya yang telah diwajibkan masuk neraka".

Golongan Sufi Yang Keliru/Sesat

Golongan sufi ini banyak yang terlibat dengan pembuatan dan mengamalkan hadith hadith palsu. Antara lain, hadith hadith mengenai keutamaan surah surah Al-Quran satu persatu yang diriwayatkan dari Ubai bin Ka'ab.

Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu'ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya. Kata beliau: "Aku telah diriwayatkan hadith ini oleh seorang syeikh, lalu aku bertanya kepanya 'Siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?', Syeikh itu menjawab: 'Seorang lelaki di Madain, ia masih hidup'. Lalu aku pergi menemui lelaki itu lalu bertanya : 'siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?', Orang itu menjawab : 'Aku telah diberitahu oleh seorang syeikh di Wasith' . Lalu aku pergi menemuinya dan kutanyakan : 'Siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?' Ia menjawab : 'Seorang syeikh di Abadan', Maka aku pun pergi menemuinya bersama sama syeikh dari Bashrah tadi. Ia memegang tanganku lalu membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba tiba aku dapati kaum sufi yang berada didalam rumah itu dan bersama sama mereka ada seorang syeikh mereka. Aku bertanya lagi : 'Siapakah yang meriwayatkan hadith ini kepadamu?' Syeikh itu lalu menjawab : 'Tiada siapapun yang meriwayatkan hadith ini kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al`Quran lantas kami ciptakan hadith ini untuk mereka bagi memalingkan semula hati mereka kepada Al-Quran.'

* Kajian diatas telah dipetik dari pengarang kitab Al-Israiliat wal Maudhu'at fi Kutubit Tafsir dari keterangan Ibnu Salah.

Ulama' As Su' (Ulama Jahat)

Diantara para ulama' ada yang dinamakan ulama' As Su' iaitu ulama' duniawi yang menjual agama dengan dunia dengan harga yang sedikit, suka menjilat penguasa lalu memutarbelitkan kebenaran dengan mebuat hadith hadith kerana kepentingan dunia, untuk tujuan mendekatkan diri dengan para pemerintah.

Ghiath bin Ibrahim An Nakha'ie Al Kufi pada suati hari datang berkunjung keistana Al Mahdi. Dikala itu Al Mahdi sedang bermain burung merpati kerana beliau sangat suka kepada burung burung itu. Maka berkatalah Ghiath: 

Rasululullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Tidak ada pertaruhan melainkan anak panah, unta atau kuda ataupun burung

Hadith yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan "ataupun burung" itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek Al Mahdi. Al Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Setelah Ghiath pergi, maka Al Mahdi berkata : 'Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta terhadap Rasul'. Kemudian dia berkata pula : Akulah yang mendorong beliau berbuat demikian' . Al Mahdi kemudian memerintahkan agar burung burung merpati itu disembelih. 

Diriwayatkan pula, bahawa Abu Al Bakhtari (Qadhi) datang mengunjungi Ar Rasyid dikala Ar Rasyid sedang menerbangkan burung merpati, ia lalu berkata kepada Ar Rasyid : Adakah Tuan menghafal sesuatu mengenai ini ? Lalu iapun meriwayatkan sebuah hadith :
"Bahawasanya Nabi SAW adalah suka menerbangkan burung merpati"
Ar Rasyid mengerti bahawa Abu Al Bakhtari telah melakukan dusta terhadap Nabi SAW lalu ia diherdiknya dan berkata : 'Jika bukan engkau ini dari golongan Quraisy tentulah aku melucutkan jawatan engkau'.

Tukang Tukang Cerita / Penglipur Lara

Pendongeng atau penglipur lara banyak mencipta hadith hadith palsu yang mengandungi kisah kisah aneh dan ajaib untuk menarik perhatian orang ramai. Antaranya : "sesungguhnya bahtera Nabi Nuh telah bertawaf tujuh hari di Baitullah dan bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim"

Diriwayatkan, bahawa Imam Ahmad dan Ibu Ma'in bersolat di Masjid Rasafah. Seusai solat bangunlah seorang tukang cerita ditengah tengah orang ramai lalu memulakan bicara : "Kami diberitakan oleh Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in yang berkata : kami diberitakan dari Abdur Razaq dari Ma'mar dari Qatadah dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Barangsiapa yang mengucapkan Lailaha ila Llah, nescaya Allah menjadikan dari tiap tiap kalimah, seekor burung. Paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan (bunga batu karang)." Kemudian orang itu terus bercerita sehingga kira kira dua puluh (20) halaman kertas. Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in saling berpandangan. Imam Ahmad bertanya kepada Ibnu Main : 'Engkaukah yang menceritakan hadith itu kepadanya ?', Ibnu Ma'in menjawab : 'Demi Allah, baru sekarang inilah aku mendengarnya'. Setelah selesai orang itu bercerita, maka Ibnu Ma'in memberi isyarat kepadanya lalu ia datang kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibu Ma'in. Berkata Ibu Ma'in : 'Siapakah yang menceritakan hadith itu kepadamu?', Orang itu menjawab : 'Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in', . Lalu Ibnu Ma'in menjelaskan 'Akulah Ibnu Ma'in dan sebelah ini adalah Imam Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar hadith itu dari Rasulullah SAW'. Orang itu menjawab : 'Aku selalu mendengar bahawa Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in adalah orang bebal, baru sekarang inilah aku dapat memastikannya'. Ibu Ma'in bertanya kembali : 'Mengapa kamu berkata demikian?'. Ia menjawab : 'Seakan akan di dunia ini tidak ada Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in selain dari kamu berdua. Sesungguhnya hadith ini telah diriwayatkan oleh 17 orang yang bernama Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in'. *

* Dipetik dari Kitab Al Maudhu'at, 1 , halaman 46

Orang Orang Yang Mencari Rezeki

Bagi melariskan barang barang jualan atau menarik orang kepada sumber rezekinya, banyaklah pula hadith hadith palsu yang dibuat oleh golongan ini seperti :
  • "Aku mengadu kepada Jibril kerana tidak kuat bersetubuh, maka ia menyuruhku supaya makan bubur Harisah"
  • "Muaz bin Jabal berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah baginda didatangkan makanan dari syurga? Beliau bersabda : Ya, aku didatangkan harisah dari syurga lalu aku memakannya maka ia menambahkan kekuatanku bagaikan kekuatan 40 orang dan menambahkan jimakku seperti jimak 40 orang"
Dan termasuk kedalam golongan ini ialah hadith hadith palsu yang dibuat orang untuk melariskan doa seperti doa 'Ukkasyah, doa Kanzul Arasy, doa Nisfu Syaaban, doa bulan Rajab, doa awal tahun, doa akhir tahun dan lain lain lagi. Hadith hadith seperti ini selalunya terdapat dalam risalah risalah mengenai doa seperti doa 'Ukkasyah yang dicetak bersama sama surah Yaasin, Majmu' Syarif yang mencampur adukkan antara surah surah Al Quran dengan hadith hadith palsu itu. Risalah risalah ini banyak terdapat didalam masjid masjid, surau dan rumah rumah orang Islam sejak zaman berzaman. 

Orang Orang Yang Mencari Nama 

Keghairahan untuk mencari nama kemasyhuran sebagai perawi hadith yang banyak meriwayatkan hadith mendorong orang unutk membuat hadith hadith palsu tanpa menghiraukan akibat apa yang akan menimpa Islam dan umatnya dikemudian hari .

* Sumber : Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris dari Buku Himpunan hadith Dha'if dan Maudhu'

Pengertian Hadith Dha'if

0 comments

Apabila sesebuah hadith itu tidak dapat memenuhi syarat syarat yang ditetapkan sebagaimana Hadith Sahih dan Hadith Hasan, ia dinamakan Hadith Dha'if. Ianya mempunyai martabat yang berlainan; ada yang terlampau lemah, dan ada yang lemah, menurut keadaan sanad dan matannya ataupun sedikit syarat syarat yang tidak dapat dipenuhi.

Sebab sebab yang menjadikan sesuatu hadith itu sebagai Hadith Dhaif adalah seperti yang berikut :

  • Perawi-perawinya dusta
  • Perawinya tertuduh dusta
  • Perawinya banyak keliru dalam hafalan dan catatannya
  • Perawinya banyak lengah dalam hafalannya
  • Perawinya curang yang membawa kepada fasiq, samada melalui perkataan mahupun perbuatan
  • Perawinya banyak waham dalam hafalannya
  • Perawinya menyalahi riwayat perawi perawi yang terpercaya
  • Perawinya orang yang tidak dikenali (majhul)
  • Perawinya melakukan bid'ah
  • Perawinya kurang baik hafalannya
  • Perawinya bukan orang Islam
  • Perawinya belum 'aqil baligh
Dan lain lain perkara lagi yang dinyatakan secara terperinci dalam ilmu Mustalah Hadith.

Misal Hadith Dha'if ialah:

"Barangsiapa berkata kepada orang miskin, bergembiralah engkau! Maka sesungguhnya wajiblah (tetaplah) syurga baginya." (Riwayat Ibn 'Adi)

Dalam riwayat hadith ini, ada seorang bernama 'Abdul Malik bin Harun yang dituduh pendusta. Kerana ini hadith tersebut dipandang dha'if.

"Menuntut ilmu adalah fardu atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan wanita." (Riwayat al-Baihaqi Ahmad dari Anas)

Imam al-Baihaqi berkata: Hadith ini masyhur di antara manusia tetapi sanadnya lemah dan telah diriwayatkan menerusi jalan yang banyak yang kesemuanya lemah belaka.

Sementara itu Imam Nawawi telah pula berkata: Hadith itu dha'if (lemah) sekalipun maknanya sahih (betul) dan telah diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dalam Masnadnya dengan sanadnya sekali dari Anas dan Nabi SAW. Dalam sanadnya itu terdapat seorang bernama Hafsin bin Sulayman, ia orang yang lemah.

"Makhluk itu keluarga Allah, dan mereka yang lebih kasih kepada Allah ialah mereka yang lebih bermanfa'at kepada keluarganya."

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dari riwayat Yusuf bin 'Atiyyah dari Thabit dari Anas dari Nabi SAW. Yusuf bin 'Atiyyah adalah orang yang lemah, kerana ini hadithnya adalah hadith yang lemah.

Hukum meriwayatkan Hadith Dha'if dan mengamalkannya

Sebahagian Ulama' membolehkan kita meriwayatkan hadith dha'if dengan tidak menerangkan kedha'ifannya dalam perkara yg berhubungan dengan kisah atau cerita, pengajaran atau nasihat dan yg bertalian dengan keutamaan ‘amal (Fadail al-‘amal) itu sahaja, dan tidak dalam perkara yg berhubungan dengan i'tiqad dan dengan hukum halal, haram, makhruh, sunat. Demikian menurut pendapat sebahagian Ulama'.

Seterusnya mereka sepakat menetapkan bahawa tidak boleh sama sekali kita mengamalkan hadith dha'if untuk menetapkan sesuatu hukum halal, haram, hukum jual-beli, hukum perkahwinan, talaq dan lain-lain.

Imam Bukhari, Muslim dan Abu Bakar Ibn al-'Arabi menetapkan bahawa tidak boleh kita mempergunakan hadith dha'if untuk segenap pekerjaan, untuk segala keperluan walaupun untuk menerangkan keutamaan sesuatu ‘amal, supaya tidak ada orang yg mengatakan kepada Rasulullah SAW perkataan yg tidak baginda katakan, dan supaya tidak ada orang yg meng'itiqadkan sunat sesuatu perkara yg tidak disunatkan.

Sementara itu Imam Nawawi berkata: "Bahawa Ulama' hadith, fiqh dan lain-lain telah menetapkan bahawa boleh kita mempergunakan hadith dha'if untuk ‘amal-'amal utama (Fadail ‘amal) dan untuk pengajaran menggemarkan dan menakutkan, selama hadith itu belum sampai ke darjat maudhu' (palsu).

Hadith Dha'if Yang Sangat Jelek

Sebagaimana yang telah diterangkan didalam bab Bahagian & Martabat Hadith, Hadith Dha'if itu terbahagi kepada beberapa jenis namun yang paling buruk dalam kategori ini adalah Hadith Maudhu' kerana ia diriwayatkan oleh pembohong pembohong dan hadith yang diriwayatkan adalah hadith palsu atau diada adakan. Sementara Hadith Matruk ialah hadith yang hanya diriwayatkan oleh perawi yang tertuduh dusta dan Hadith Mungkar ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang banyak keliru dalam hafalannya ataupun catatannya ataupun kerana kefasiqannya dan sebagainya. 

* Sumber : Pelbagai

Pengertian Hadith Hasan

0 comments

Dari Segi Bahasa 

Hasan bererti al-jamal, iaitu indah. Hasan juga boleh dimaksudkan sesuatu yang disenangi dan dicondongi oleh nafsu. Sedangkan para ulama berbeza pendapat dalam menakrifkan Hadith Hasan kerana melihat bahawa ia merupakan pertengahan antara Hadith Sahih dan Hadith Dha’if, dan juga kerana sebagian ulama mendefinasikan sebagai salah satu bahagiannya. Sebahagian dari takrifnya  ialah:

  1. Al-Chatabi mengatakan bahawa ia adalah hadith yang diketahui tempat keluarnya, dan telah masyhur rawi-rawi sanadnya, dan kepadanya tempat berputar kebanyakan hadith, dan yang diterima kebanyakan ulama, dan yang dipakai oleh umumnya fuqaha’
  2. Tirmidzi pula mengatakan semua hadith yang diriwayatkan, dimana dalam sanadnya tidak ada yang dituduh berdusta, serta tidak ada syadz (kejanggalan), dan diriwayatkan dari selain jalan seperti demikian, maka dia menurut kami adalah Hadith Hasan.
  3. Ibnu Hajar berkata, ia adalah Hadith Aahad yang diriwayatkan oleh yang adil, sempurna ke-dhabit-annya, bersambung sanadnya, tidak cacat, dan tidak syadz (janggal) maka dia adalah Hadith Sahih li-dzatihi, lalu jika ringan ke-dhabit-annya maka dia adalah Hadith Hasan li-dzatihi.


Kriteria Hadith Hasan sama dengan kriteria Hadith Sahih. Perbezaannya hanya terletak pada sisi ke-dhabit-annya. iaitu Hadith Sahih lebih sempurna ke-dhabit-annya dibandingkan dengan Hadith Hasan. Tetapi jika dibandingkan dengan ke-dhabit-an perawi Hadith Dha’if tentu belum seimbang, ke-dhabit-an perawi Hadith Hasan lebih unggul.

Kategori Hadith Hasan

Sebagaimana Hadith Sahih yang terbahagi menjadi dua bahagian, Hadith Hasan juga terbahagi menjadi dua kategori, iaitu Hasan li-dzatih dan Hasan li-ghairih;

Hasan Li-Dzati

Hadith Hasan li-dzatih adalah hadith yang telah memenuhi persyaratan Hadith Hasan yang telah ditentukan. 

Hasan Li-Ghairih          

Hadith Hasan yang tidak memenuhi persyaratan secara sempurna. dengan kata lain, hadith tersebut pada dasarnya adalah Hadis Dha’if, akan tetapi kerana adanya sanad atau matan lain yang menguatkannya (syahid atau muttabi’), maka kedudukan Hadith Dha’if tersebut naik darjatnya menjadi Hadith Hasan li-ghairih.

Hadith Hasan Sebagai Hujah 

Hadith Hasan sebagai mana halnya Hadith Sahih, meskipun darjatnya dibawah Hadith Sahih, adalah hadith yang dapat diterima dan dipergunakan sebagai dalil atau hujjah dalam menetapkan suatu hukum atau dalam beramal. Para ulama hadith, ulama ushul fiqh, dan fuqaha sepakat tentang kehujjahan hadis hasan.


Hadith Hasan Sahih

Dalam kitab-kitab hadith seperti kitab Sunan Tirmizi dan dalam kitab ini (Hadith Empat Puluh) ada didapati di akhir hadith perkataan "Hasan Sahih" ertinya hadith ini hasan lagi sahih. Dengan demikian bermakna hadith itu mempunyai dua martabat: pertama hasan dan kedua sahih.

Menurut keterangan ulama' hadith, bahawa hadith tersebut dikatakan hasan menurut perhitungan atau penilaian pada satu sanadnya. Dan dikatakan pula sahih padanya menurut perhitungan atau penilaian pada sanadnya yang lain. Ini jika pada hadith itu ada sanadnya (jalannya).

Jika pada hadith itu satu sanadnya, maka erti hasan padanya menurut pandangan segolongan ulama' hadith dan sahih menurut pandangan ulama' yang lain, yang tidak sama tinjauan terhadap sifat dan peribadi orang yang menjadi rawinya atau yang memindahkannya.

* Sumber : Pelbagai

Pengertian Hadith Sahih

0 comments

Maksud Sahih
  1. Sahih dari segi bahasa bermaksud orang yang sihat, lawan dari kata as-saqim, orang yang sakit, jadi yang dimaksud Hadith Sahih adalah hadith yang sihat dan benar tidak terdapat penyakit atau kecacatan.
  2. Hadis yang Muttasil (bersambung) sanadnya, diriwayatkan oleh orang adil dan dhobith (kuat daya ingatan) sempurna dari sesamanya, selamat dari kejanggalan (syadz), dan cacat (‘ilat).    
  3. Imam Al-Suyuthi mendefinasikan hadith sahih dengan mengatakan : “hadis yang bersambung sanadnya, dfiriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhobit, tidak syadz dan tidak ber’ilat”.
Pengertian Hadith Sahih secara jelas baru muncul setelah Imam Syafi’ie memberikan penjelasan tentang riwayat yang dapat dijadikan hujah, iaitu:
  • Apabila diriwayatkan oleh para perawi yang dapat dipercaya pengamalan agamanya; dikenal sebagai orang yang jujur memahami hadith yang diriwayatkan dengan baik, mengetahui perubahan maksud hadith bila terjadi perubahan lafaznya; mampu meriwayatkan hadis secara lafaz; terpelihara hafalannya bila meriwayatkan hadith secara lafaz, bunyi hadis yang dia riwayatkan sama dengan hadith yang diriwayatkan orang lain dan terlepas dari tadlis (penyembuyian cacat),
  • Rangkaian riwayatnya bersambung sampai kepada Nabi SAW. atau dapat juga tidak sampai kepada Nabi.
Imam Bukhari dan Imam Muslim membuat kriteria Hadith Sahih sebagai berikut:
  1. Rangkaian perawi dalam sanad itu harus bersambung mulai dari perawi pertama sampai perawi terakhir 
  2. Para perawinya harus terdiri dari orang-orang yang dikenal thiqah, dalam erti adil dan dhobith
  3. Hadithnya terhindar dari ‘ilat (cacat) dan syadz (janggal)
  4. Para perawi yang terdekat dalam sanad harus sezaman.
Syarat-Syarat Hadith Sahih

Berdasarkan pengertian Hadith Sahih diatas, dapat difahami bahawa syarat-syarat Hadith Sahih dapat dirumuskan sebagai berikut: 
  • Sanadnya bersambung
  • Para perawinya bersifat adil 
  • Para perawinya bersifat dhobit
  • Matannya tidak mempunyai syadz
  • Matannya tidak mempunyai 'ilat. 
i ) Sanadnya Bersambung

Maksudnya adalah tiap-tiap perawi dari perawi lainnya benar-benar mengambil secara langsung dari orang yang ditanyanya, dari sejak awal hingga akhir sanadnya.Untuk mengetahui samada bersambungnya dan tidaknya sesuatu sanad, biasanya ulama’ hadith menyaringnya sebagai berikut;
  • Mencatat semua periwayat yang diteliti;
  • Mempelajari hidup masing-masing periwayat;
  • Meneliti kata-kata yang berhubungan antara para periwayat dengan periwayat yang terdekat dalam sanad, iaitu apakah kata-kata yang terpakai berupa haddasana, haddasani, akhbarana, akhbarani, ‘an,anna, atau kata-kata lainnya.
ii) Perawinya Bersifat Adil  

Maksudnya adalah tiap-tiap perawi itu seorang Muslim, berstatus Mukallaf  (baligh), bukan fasiq dan tidak pula jelik perilakunya.

Dalam menilai keadilan seorang periwayat, cukup dilakukan dengan salah satu teknik berikut:
  1. Keterangan sesseorang atau beberapa ulama ahli ta’dil bahwa seorang itu bersifat adil,  sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab jarh wa at-ta’dil.
  2. Pengakuan seseorang bahawa ia bersifat adil, seperti imam empat Hanafi, Maliki, Asy-Syafi’i, dan Hanbali.

Khusus mengenai perawi hadith pada era sahabat, jumhur ulama sepakat bahwa seluruh sahabat adalah adil. Pandangan berbeza datang dari golongan muktazilah yang menilai bahawa sahabat yang terlibat dalam pembunuhan ‘Ali dianggap fasiq, dan periwayatannya pun ditolak.

iii) Perawinya Bersifat Dhobith       

Maksudnya masing-masing perawinya sempurna daya ingatannya, baik berupa kuat ingatan dalam dada mahupun dalam kitab (tulisan).         

Dhobith dalam dada ialah terpelihara periwayatan dalam ingatan, sejak ia menerima hadith sampai meriwayatkannya kepada orang lain, sedang, dhobith dalam kitab ialah terpeliharanya kebenaran suatu periwayatan melalui tulisan.

Adapun sifat-sifat kedhobitan perawi, nmenurut para ulama', dapat diketahui melalui: 
  • Kesaksian para ulama 
  • Berdasarkan kesesuaian riwayatnya dengan riwayat dari orang lain yang telah dikenal kedhobithannya.

iv) Tidak Mempunyai Syadz      

Maksudnya ialah hadith itu benar-benar tidak syadz, samada bertentangan atau menyalahi orang yang terpercaya dan lainnya.      

Menurut al-Syafi’ie, suatu hadith tidak dinyatakan sebagai mengandung syudzudz, bila hadith itu hanya diriwayatkan oleh seorang periwayat yang tsiqah, sedang periwayat yang tsiqah lainnya tidak meriwayatkan hadith itu. Ertinya, suatu hadith dinyatakan syudzudz, bila hadith yang diriwayatkan oleh seorang periwayat yang tsiqah tersebut bertentangan dengan hadith yang diriwayatkan oleh banyak periwayat yang juga bersifat tsiqah.

v) Tidak Mempunyai ’ilat 

Maksudnya ialah hadith itu tidak ada cacatnya, dalam erti adanya sebab yang menutup tersembunyi yang dapat merubah pada ke-sahih-an hadith, sementara zahirnya selamat dari kecacatan.   

‘Ilat hadith dapat terjadi pada sanad mahupun pada matan atau pada keduanya sekaligus. Namun demikian, ‘ilat yang paling banyak terjadi adalah pada sanad, seperti menyebutkan Muttasil terhadap hadith yang Munqathi’ atau Mursal.

Pembahagian Hadith

Para ahli hadith membahagi Hadith Sahih kepada dua bahagian, iaitu Sahih li-dzati dan Sahih li-ghairih. perbezaan antara keduanya terletak pada segi hafalan atau ingatan perawinya. pada Sahih li-dzati, ingatan perawinya sempurna, sedang pada hadis shahih li-ghairih, ingatan perawinya kurang sempurna.

Hadith Sahih Li Dzati            

Maksudnya ialah syarat-syarat lima tersebut benar-benar telah terbukti adanya, bukan dia itu terputus tetapi sahih dalam hakikat masalahnya, kerana bolehnya salah dan khilaf bagi orang kepercayaan.

Hadith Sahih Li Ghairihi    

Maksudnya ialah hadith tersebut tidak terbukti adanya lima syarat Hadith Sahih tersebut baik keseluruhan atau sebahagian. Bukan bermaksud sama sekali dusta, mengingat bolehnya berlaku bagi orang yang banyak salah.

Hadith Sahih li-ghairih, adalah Hadith Hasan li-dzatihi apabila diriwayatkan melalui jalan yang lain oleh perawi yang sama kualitinya atau yang lebih kuat dari padanya.       
Hadith Sahih Sebagai Hujah

Hadith yang telah memenuhi persyaratan Hadith Sahih wajib diamalkan sebagai hujah atau dalil syara’ sesuai ijma’ para ulama hadith dan sebahagian ulama ushul dan fiqh. Kesepakatan ini terjadi dalam soal-soal yang berkaitan dengan penetapan halal atau haramnya sesuatu, tidak dalam hal-hal yang berhubungan dengan aqidah.

Sebagian besar ulama menetapkan dengan dalil-dalil qat’ie, iaitu al-Quran dan Hadith Mutawatir. Oleh kerana itu, Hadith Aahad tidak dapat dijadikan hujjah untuk menetapkan persoalan-persoalan yang berhubungan dengan aqidah.

Tingkatan Hadith Sahih

Perlu diketahui bahawa martabat Hadith Sahih itu tergantung tinggi dan rendahnya kepada ke-dhobit-an dan keadilan para perawinya. Berdasarkan martabat seperti ini, para muhadisin membahagi tingkatan sanad menjadi tiga iaitu:
  1. Ashah al-Asanid - iaitu rangkaian sanad yang paling tinggi darjatnya. seperti periwayatan sanad dari Imam Malik bin Anas dari Nafi’ mawla (mawla = hamba yang telah dimerdekakan) dari Ibnu Umar.
  2. Ahsan al-Asanid - iaitu rangkaian sanad hadith yang yang tingkatannya dibawah tingkat pertama diatas. Seperti periwayatan sanad dari Hammad bin Salamah dari Tsabit dari Anas.
  3. Ad’af al-Asanid - iaitu rangkaian sanad hadith yang tingkatannya lebih rendah dari tingkatan kedua. seperti periwayatan Suhail bin Abu Shalih dari ayahnya dari Abu Hurairah.
Dari segi persyaratan sahih yang terpenuhi dapat dibahagi menjadi tujuh tingkatan, yang secara berurutan sebagai berikut:
  1. Hadith yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim (muttafaq ‘alaih)
  2. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari 
  3. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim
  4. Hadith yang diriwayatkan orang lain memenuhi persyaratan Imam Bukhari dan Imam Muslim
  5. Hadith yang diriwayatkan orang lain memenuhi persyaratan Imam Bukhari sahaja
  6. Hadith yang diriwayatkan orang lain memenuhi persyaratan Imam Muslim sahaja
  7. Hadith yang dinilai sahih menurut ulama hadith selain Imam Bukhari dan Imam Muslim dan tidak mengikuti persyaratan kedua Imam tersebut, seperti Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan lain-lain.
Kitab-kitab hadith yang menghimpun Hadith Sahih secara berurutan sebagai berikut:
  1. Sahih Al-Bukhari - Susunan Al Imam Abu Abdillah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah, Al Bukhari (194-256H).
  2. Sahih Muslim - Susunan Al Imam Abu Al Hussain, Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi (205-261H).
  3. Sunan Abu Daud - Susunan Al Imam Abu Daud, Sulaiman bin Al Ays'ath As Sajistani (202-275H).
  4. Sunan An Nasa'i - Susunan Al Imam Ahmad bin Syua'aib bin Ali bin Sinan An Nasa'i (215-279H).
  5. Sunan At Tirmizi - Susunan Al Imam Abu 'Isa Muhammad bin 'Isa bin Sarah As Silmi At Tirmizi (209-279H).
  6. Sunan Ibnu Majah(+) - Susunan Al Imam Abu Abdullah, Muhammad Yazid bin Majah Al Qazwini (209-273H)
Kitab kitab yang disebutkan diatas dipercayai mengandungi kira kira 95% dari keseluruhan Hadith hadith Sahih yang diketahui, manakala 5% lagi terkandung dalam kitab kitab yang antara lain seperti :
  1. As Sahih - Susunan Al Imam Ibnu Khuzaimah, Au Bakr, Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah As Silmi An Nisaiburi (223-311H)
  2. As Sahih - Susunan Al Imam Ibnu Hibban, Abu Hatim, Muhammad bin Hibban bin Ahmad bin Hibban At Tamimi Al Busti (w-405H)
  3. Al Mustadrak - Susunan Al Imam Al Hakim, Abu Abdillah, Muhammad bin Abdillah An Nisaiburi (w-405H)
(+) Tempat yang ke 6 ini telah diperselisihkan diantara ulama' Abu Al Hasan Razin bin Mu'awiyah dan diikuti oleh Ibnul Athir yang berpendapat bahawa kitab Al Muwattha' oleh Imam Malik seharusnya berada ditempat yang ke 6 kerana ia lebih Sahih jika dibandingkan dengan kitab Sunan Ibnu Majah. 

* Sumber - Pelbagai

Pengertian Hadith Mudallas

1 comments

Pengertian Dari Segi Bahasa :
  • Kata nama ganti bagi kata dasar tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli.
  • Kata akar tadlis ialah al-dalas iaitu kegelapan atau percampuran dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit.
  • Seolah-olah perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadith bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadith itu mudallas (digelapkan).
Dari Segi Istilah :
  • Menyembunyikan keaiban di dalam sanad
  • Memperelokkan zahirnya
Pembahagian Tadlis
  1. Tadlis al-Isnad
  2. Tadlis al-Syuyukh
Tadlis al-Isnad

Pandangan penulis yang paling sahih dan halus ialah takrif Imam Abu Ahmad bin Amar al-Bazzar dan Abu al-Hassan bin al-Qattan. Takrif tersebut ialah :

“Seorang perawi meriwayatkan hadith-hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian takrif
  • Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi yang telah meriwayatkan beberapa hadith daripada seorang perawi yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadith yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar secara langsung daripada perawi tersebut.
  • Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada perawi yang lain daripada yang pertama tadi.
  • Bermaksud, dia telah menggugurkan perawi tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti ‘dia telah berkata’ atau ‘daripada’.
  • Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadith itu daripada perawi tersebut.
  • Dengan sebab itu dia tidak berkata, ‘saya mendengar’, ‘telah menceritakan kepada saya’ ,supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu.
  • Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.
Perbezaan dengan Hadith al-Irsal al-Khafiy

Al-Irsal al-Khafiy
  • Meriwayatkan daripada perawi hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar.
  • Perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadith daripadanya.
  • Ada mendengar juga beberapa hadith lain selain daripada hadis yang ditadliskannya.
  • Langsung tidak pernah mendengar hadith daripada ulama tersebut, baik hadith yang dimursalkannya atau hadith-hadith lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.
Tadlis Al-Syuyukh

Seorang perawi meriwayatkan satu hadith yang didengarinya daripada ulama' lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang ulama' itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Contohnya :
Abu Bakar bin Mujahid, merupakan salah seorang imam qiraat berkata : Abdullah bin Abi Abdullah menceritakan kepada saya yang mana maksudnya ialah Abu Bakar bin Abu Daud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Hukum Tadlis al-Isnad adalah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama’.Syu’bah adalah seorang ulama’ yang keras mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau.Antaranya ialah,tadlis adalah saudara berdusta, katanya.

Manakala hukum Tadlis Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : "Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya".

Hukum Tadlis al-Syuyukh pula ialah lebih ringan hukum makruhnya daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan pendengar untuk mengetahuinya. Oleh itu dapat dikatakan bahawa keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis tersebut

Sebab-sebab yang Menyebabkan tadlis al-Syuyukh :
  • Perawi itu seorang yang dha'if atau tidak thiqah
  • Perawi itu telah lanjut usianya sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadith daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  • Perawi itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  • Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu, perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.
Tiga Sebab Mengapa Tercelanya Perawi Tadlis
  • Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  • Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata dan menggunakan cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  • Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.
Hukum Periwayatan Perawi Hadith

Ulama’ berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah
1.Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tarjih. Pendapat ini dipegang oleh ulama’
2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian itu :
  • Jika dia menyatakan “ saya mendengar ” maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadithnya diterima.
  • Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima kerana jika dia mengatakan “ daripada ” dan sebagainya maka hadithnya tidak diterima.
Bagaiamanakah Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara :
  • Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn ‘Uyainah.
  • Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melaui kajian dan penyelidikan.
Kitab-kitab yang Terkenal Tentang Tadlis dan Perawi-perawi Mudallis

Antara kitab –kitab yang paling masyhur ialah :
  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi
  3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mausufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.
* Sumber dari Buku Mustalah Hadith

Pengertian Hadith Munqathi'

0 comments

Maksud Dari Segi Bahasa :

Ia adalah kata nama pelaku atau isim fa’il bagi kata kerja inqata’a yang membawa maksud terputus.

Maksud Dari Segi Istilah :

Ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun.

Contohnya :

Setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau di akhir sanad atau pertengahan sanad. Dengan itu, ia termasuk dalam ta’rif hadith mursal, hadith mua’llaq dan hadis mu’dal. bagaimanapun, ulama’ mustalah hadith mutaakhirin mengkhususkan munqathi’ dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadith mursal, mua’llaq atau mu’dal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama’ mutaqaddimin. Oleh sebab itu, Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa : Munqathi’ itu lebih banyak digunakan untuk riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi’in daripada sahabat seperti Malik daripada Umar.

Munqathi’ mengikut ulama’ hadis mutaakhir

Munqati’ mengikut ulama’ hadith mutaakhir adalah hadith yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mua’llaq atau mu’dal. Hal ini menunjukkan seolah-olah munqathi’ lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk iaitu gugur di awal sanad’gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut-turut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Nukhbah dan syaratnya al-Nuzhah. Kadang-kadang sanad terputus di satu bahagian pada sanad dan kadang-kadang ia berlaku pada lebih daripada satu bahagian seperti dua atau tiga bahagian.

Contoh hadith munqathi’ yang diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq : “Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya ats-Tsauri telah menyebutkan daripada Abu Ishak daripada Zaid bin Yuthai’ daripada Huzaifah secara marfu’ : Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.”

Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur iaitu Syarik antara al-Tsauri dan Abu Ishaq kerana ats-Tsauri tidak pernah mendengar hadith daripada Abu Ishaq secara langsung.Sebenarnya beliau mendengar daripada Syarik dan Syarik mendengar daripada Abu Ishaq.

Hukumnya :

Munqathi’ adalah dha’if dengan persepakatan ulama’ kerana tidak mengetahui kedudukan perawi yang gugur.

* Sumber dari Buku Mustalah Hadith

Pengertian Hadith Mursal

0 comments

Dari Segi Bahasa :

Mursal adalah kata nama perlakuan daripada perkataan irsal iaitu melepaskan.Ia seolah-olah perawi hadith mursal melepaskan sanad tanpa menyambungkannya.Al-Khafi (yang tersembunyi) pula lawan kepada al-Jali (yang terang) kerana bentuk Irsal ini tidak jelas dan hanya diketahui melalui kajian.

Dari Segi Istilah :

Hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang ditemuinya atau sezaman dengannya dengan menggunakan lafaz seolah-olah ia mendengar daripadanya seperti ‘telah berkata’.

Contohnya :

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah melalui Tariq Umar bin Abd al-Azizi daripada ‘Uqbah Ibn ‘Amir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Semoga Allah merahmati ketua sekalian pengawal.”

Umar tidak pernah pernah bertemu dengan ‘Uqbah sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Mizzi di dalam kitabnya,al-Atraf.

Cara mengenal Mursal Khafi

Mursal Khafi dapat dikenali melalui salah satu daripada tiga perkara yang tertera :

  1. Kenyataan oleh sebahagian imam bahawa perawi ini tidak bertemu dengan orang yang dia meriwayatkan daripadanya atau orang yang tidak pernah mendengar sama sekali.
  2. Perawi memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu dengan perawi yang dia meriwayatkan daripadanya atau tidak pernah mendengar daripadanya satu hadis pun.
  3. Hadis itu datang melalui jalan lain yang mempunyai tambahan perawi di antara perawi tersebut dan orang yang meriwayatkan daripadanya.Cara yang ketiga ini terdapat perbezaan dalam kalangan ulama’ kerana kadang-kadang ia termasuk dalam al-Mazid Fi Muttasil al-Asanid.

Hukumnya

Ia adalah hadis dha’if kerana ia salah satu bentuk munqathi’.Apabila jelas terbukti terputusnya sanad itu maka hukumnya adalah munqathi’.

* Sumber dari buku Mustalah Hadith

Saturday, November 20, 2010

Bahagian Dan Martabat Hadith

0 comments

Berbeza dengan Al Quran yang bersifat mutawatir dan qath'ie, Hadith (kecuali Hadith Mutawatir) hanyalah bersifat dzanni belaka. Ia berbeza beza dari segi martabat dan tidak sama cara penerimaan dan pengamalannya. Ada yang wajib diterima dan diamalkan manakala sebaliknya ada pula hadith yang wajib DITOLAK dan TIDAK HALAL digunakan dalam semua perkara.

Untuk menerima dan menolak sebuah hadith hendaklah dilihat pada sanadnya (jalan hadith) dan pada matannya (kandungan hadith). Jika sanad dan matannya sahih, maka ianya diterima dan diamalkan, tetapi jika sanadnya tidak sahih, atau matannya tidak sahih, atau kedua duanya sekali tidak sahih maka hadith itu tertolak dan tidak boleh diamalkan. 

Berdasarkan kuantiti sanadnya, maka sekalian hadith itu dibahagikan kepada 2 kategori iaitu 
  1. Hadith Mutawatir 
  2. Hadith Aahad. 
Hadith Aahad itu pula terbahagi kepada 3 iaitu
  • Masyhur/Mustafidh
  • 'Aziz
  • Gharib
Dan selanjutnya ketiga tiga jenis Hadith Aaahad ini iaitu Masyhur,'Aziz dan Gharib dibahagikan kepada Sahih, Hasan dan Dha'if dengan melihat kepada kualitinya dengan syarat syarat yang ditentukan.

Hadith Masyhur / Mustafidh


Iaitu hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan orang atau hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih kepada tiga orang atau lebih dan begitulah seterusnya hingga dapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

Contohnya ialah:

"Orang-orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya) lidahnya dan tangannya."

Hadis ini diriwayatkan oleh tiga orang Imam hadith dari sanad yang berlainan. Pertama: Imam Bukhari. Kedua: Imam Muslim. Ketiga: Imam Tirmizi.

Sanad Imam Bukhari: ialah Bukhari dari Adam dari Syu'bah dari 'Abdullah B. Abu Safar, dari Al-Sya'bi, dari 'Abdullah Bin 'Amru dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Muslim: ialah Imam Muslim dari Sa'id, dan Yahya, dari Abu Burdah dari Abu Burdah, dari Abu Musa dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Tirmizi: ialah Tirmizi dari Qatadah, dari Al-Laith dari Al-Qa'qa', dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Cubalah perhatikan ketiga-tiga sanad tersebut. Di antaranya tidak seorangpun yang sama nama dan orangnya. Abu Burdah dalam sanad Imam Muslim ada dua tetapi orangnya berlainan. Abu Burdah yang pertama itu cucu dari Abu Burdah yang kedua, jadi dengan demikian tidaklah sama.

Hadith Dha'if


Hadith hadith Dha'if itu banyak pula kategorinya, diantaranya ialah Hadith Mursal, Hadith Munqathi', Hadith Mudallas, Hadith Mu'allaq, Hadith Mungkar, Hadith Matruk dan Hadith Maudhu'. Seburuk buruk dan sejelek jelek martabat hadith ialah Hadith Maudhu', Hadith Matruk dan Hadith Mungkar.

Hadith hadith yang wajib diterima dan diamalkan hanyalah Hadith Mutawatir, Hadith Sahih dan Hadith Hasan.

Jumhur ulama' hadith menolak semua Hadith Dha'if walaupun tidak seberapa dha'ifnya kerana Hadith Sahih dan Hadith Hasan lebih dari mencukupi dan dikhuatiri akan terjerumus ke dalam jurang berbohong atas Nabi SAW. Akan tetapi sebahagian kecil ulama' membolehkan penggunaan Hadth Dha'if yang tidak seberapa dha'ifnya untuk menyatakan Targhib dan Tarhib dan menyatakan fadhilat fadhilat amal dengan syarat antara lain jangan diyakini bahawa ianya adalah sabda Rasululllah SAW. dan dinyatakan pula kedha'ifannya. 

Adapun yang dimaksudkan dengan kata kata "Hadith Dha'if itu lebih baik dari Qias" seperti yang diucapkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Imam Abu Daud, adalah merujuk kepada Hadith Hadith Hasan mengikut istilah ulama mutaakhirin, kerana ulama ' mutaqaddimin (sebelum At Tirmizi) membahagikan Hadith Hadith kepada 2 kategori sahaja iaitu Sahih dan Dha'if (ketika itu Hadith Hasan ada sebahagian dari Hadith Dha'if).

* Sumber : Drs Abdul Ghani Azmi Bin Haji Idris (Bab Pengertian Hadith Dan Sunnah) & Buku Mustalah Hadith serta pelbagai sumber lain.

Tuesday, November 9, 2010

Al-Muwatta’ Imam Malik

1 comments

Add caption

Latar Belakang Penyusunan
  
Terdapat beberapa versi yang timbul mengenai latar belakang penyusunan Al-Muwatta’. Antaranya menurut Noel J. Coulson  problem politik dan sosial agama  yang telah mencetuskan penyusunan Al-Muwatta’. Situasi politik yang penuh konflik pada masa peralihan Daulah Umayyah-Abasiyyah yang melahirkan tiga kelompok besar (Khawarij, Syi’ah & Keluarga Istana) telah mengancam perpaduan kaum Muslimin. Di samping situasi sosial keagamaan yang berkembang penuh dengan perbezaan. Perbezaan-perbezaan pemikiran yang berkembang (khususnya dalam bidang hukum) yang bertitik tolak dari perbezaan petikan nas di satu sisi dan penggunaan logik akal di sisi yang lain, telah melahirkan percanggahan yang penuh konflik.
   
Versi yang lain menyatakan penulisan al-Muwatta’ disebabkan adanya permintaan Khalifah Ja’far al-Mansur atas usul yang dibuat Muhammad ibn al-Muqaffa’ yang sangat prihatin  terhadap perbezaan fatwa dan pertentangan yang berkembang saat itu, beliau mengusulkan kepada Khalifah untuk menyusun undang-undang yang menjadi jalan tengah  dan dapat diterima semua pihak. Khalifah Ja’far lalu meminta Imam Malik menyusun Kitab hukum sebagai Kitab rujukan bagi seluruh wilayah Islam. Imam Malik menerima usul tersebut, namun ia keberatan menjadikannya sebagai kitab rujukan atau kitab rasmi negara.

Sementara  ada pula versi yang lain mengatakan, di samping terpujuk oleh usulan Khalifah Ja’far al-Mansur, sebenarnya Imam Malik sendiri memiliki keinginan kuat untuk menyusun kitab yang dapat memudahkan umat Islam memahami agama.

Pemberian Nama Kitab

Al-Muwatta’ adalah nama yang berasal dari Imam Malik sendiri. Cuma, mengapa kitab tersebut dinamakan dengan Al-Muwatta’ menimbulkan beberapa pendapat :
    
Pertama, sebelum kitab itu disebarluaskan, Imam Malik telah meperlihatkan karyanya ini di hadapan para 70  ulama Fiqh Madinah dan mereka menyepakatinya. Dalam sebuah riwayat As-Suyuthi menyatakan: “Imam Malik berkata, Aku mengajukan kitabku ini kepada 70 ahli Fiqh Madinah, mereka semua setuju denganku atas kitab tersebut, maka aku namakanya Al-Muwatta’. 
  
Kedua, pendapat yang menyatakan ia dinamakan Al-Muwatta’, kerana kitab tersebut “memudahkan” khalayak  umat Islam dalam memilih dan menjadi pegangan hidup dalam beraktiviti dan beragama.
    
Ketiga, pendapat yang menyatakan ia dinamkan Al-Muwatta’, kerana kitab Al-Muwatta’ merupakan perbaikan terhadap kitab-kitab fiqh sebelumnya.

Isi Kitab
    
Kitab ini menghimpun hadith-hadith Nabi SAW, pendapat sahabat, qaul tabi’in, Ijma’ ahlul Madinah dan pendapat Imam Malik.

Para ulama berbeza pendapat tentang jumlah hadis yang terdapat dalam al-Muwatta’;

  • Ibnu Habbab yang dikutip Abu Bakar al-A’rabi dalam Syarah al-Tirmizi menyatakan ada 500 hadith yang disaring dari sejumlah 100.000 hadith
  • Abu Bakar al-Abhari berpendapat ada 1726 hadith dengan perincian 600 musnad, 222 mursal, 613 mauquf dan 285 qaul tabi’in.  
  • Al-Harasi dalam “Ta’liqah fi al-Usul” mengatakan Al-Muwatta’ memuat 700 hadith dari 9000 hadith yang telah disaring
  • Abu al-Hasan bin Fahr dalam “Fada’il” mengatakan ada 10.000 hadith dalam kitab Al-Muwatta’.
  • Arnold John Wensinck menyatakan dalam Al-Muwatta’ ada 1612 hadith
  • Muhammad Fu’ad Abdul Baqi mengatakan Al-Muwatta’ berisi 1824 hadith”.  
g.    Ibnu Hazm berpendapat, dengan tanpa menyebutkan jumlah tepat,  500 lebih hadith musnad, 300 lebih hadith mursal, 70 hadith lebih yang tidak diamalkan Imam Malik dan beberapa hadith dha’if.
h.    M. Syuhudi Ismail menyatakan “Al-Muwatta’  hadithnya ada 1804”.

Perbezaan pendapat ini terjadi kerana perbezaan sumber periwayatan di satu sisi dan perbezaan cara penghitungan. Ada ulama hadith yang hanya menghitung hadith berdasar jumlah hadith yang disandarkan kepada Nabi SAW saja, namun adapula yang menghitung dengan menggabungkan  fatwa sahabat, fatwa tabi’in yang memang termaktub dalam Al-Muwatta’.
    
Menurut As-Suyuthi, lebih dari seribu orang yang meriwayatkan Al-Muwatta’, dan banyak naskah tentang itu. Namun yang terkenal adalah 14 naskah menurut As-Suyuthi, dan menurut al-Kandahlawi  ada 16 naskah, sedang menurut Qadi Iyad ada 20 naskah, malah ada yang berpendapat ada 30 naskah.  Di antara naskah itu adalah:
  1. Naskah Yahya bin Yahya al-Masmudi al-Andalusi (w. 204 H). Beliaulah yang pertama kali mengambil Al-Muwatta’ dari Yazid bin ‘Abdurrahman bin Ziyad al-Lahmi (al-Busykatun) dan pembawa mazhab Maliki di Andalusia
  2. Naskah ibn Wahb (w. 197 H)
  3. Naskah Abu Ubaidillah Abd al-Rahman bin al-Qasim ibn Khalid al-Misri (w. 191 H)
  4. Naskah Abu Abd al-Rahman Abdullah bin Musalamah bin Qa’nabi al-Harisi (w.221 H).
  5. Naskah Abdullah bin Yusuf al-Dimsyqi Abu Muhammad at-Tunaisi (w. 217 H)
  6. Naskah Mu’an al-Qazzazi (w. 198 H)
  7. Naskah Sa’id bin ‘Uffair (w. 226 H)
  8. Naskah Ibn Bukair (w. 231 H)
  9. Naskah Abu Mas’ab Ahmad bin Abu Bakr al-Qasim az-Zuhri (w. 242 H)
  10. Naskah Muhammad ibn al-Mubarak al-Quraisyi (w. 215 H).
  11. Naskah Musa’ab ibn Abdullah al-Zubairi (w. 215 H).
  12. Naskah Suwaid ibn Zaid Abi Muhammad al-Harawi (w. 240 H)
  13. Naskah  Muhammad ibn al-Hasan al-Syaibani (w. 179 H)
  14. Naskah Yahya bin Yahya al-Taimi (w. 226 H)
  15. Naskah Abi Hadafah al-Sahmi (w. 259 H)
Di antara naskah-naskah tersebut, riwayat Yahya bin Yahya al-Andalusi yang paling mahsyur.

Ada perbezaan pendapat yang timbul ketika dihadapkan pada pertanyaan apakah kitab Al-Muwatta’ ini kitab fiqih semata mata, Kitab Hadith semata mata  atau Kitab Fiqh dan kitab Hadith sekaligus. Menurut Abu Zahra , Al-Muwatta’ adalah kitab Fiqh, bedasarkan hujahnya, Tujuan Malik mengumpulkan hadith adalah untuk melihat fiqh dan undang-undangnya bukan kesahihannya dan Imam Malik menyusun kitabnya dalam bab-bab beraliran fiqh.
    
Senada dengan Abu Zahra, Ali Hasan Abdul Qadir juga melihat Al-Muwatta’ sebagai kitab fiqh dengan dalil hadith. Sebab tradisi yang dipakai adalah tradisi kitab fiqh yang seringkali hanya menyebut sebahagian sanad atau bahkan tidak menyebut sanadnya sama sekali.
    
Sementara menurut Abu Zahwu kitab ini bukan semata-mata kitab Fiqh, tetapi sekaligus kitab hadith, kerana sistem fiqh juga dipakai dalam kitab-kitab hadith yang lain, di samping Imam Malik sesekali juga melontarkan kritik melalui pendapat beliau dalam mengupas sebuah riwayat hadith, dan juga menggunakan kriteria-kriteria dalam memilih hadithnya.

Penyusunan Kitab
    
Kitab Al-Muwatta’ adalah kitab hadith yang beraliran Fiqh. Berdasar kitab yang telah di-tahqiq oleh Muhammad Fuad Abdul Baqi, kitab Al-Muwatta’ terdiri dari 2 juz, 61 kitab (bab) dan 1824 hadith. Adapun perinciannya adalah sebagai berikut:
Juzuk I : 
  • Waktu-waktu Solat, 80 tajuk, 30 hadith, 
  • Bersuci, 32 tajuk, 115 hadith, 
  • Solat, 8 tajuk, 70 hadith, 
  • Lupa dalam Solat, 1 tajuk, 3  hadith, 
  • Solat Juma’at, 9 tajuk, 21 hadith, 
  • Solat pada bulan Ramadhan, 2  tajuk, 7  hadith, 
  • Solat Malam, 5 tajuk, 33 hadith, 
  • Solat Jama’ah, 10 tajuk, 38 hadith, 
  • Mengqasar Solat dalam perjalanan, 25 tajuk, 95 hadith, 
  • Dua hari raya, 7 tajuk, 13 hadith, 
  • Solat dalam keadaan takut, 1 tajuk, 4 hadith, 
  • Solat gerhana matahari dan bulan, 2 tajuk, 4 hadith, 
  • Solat minta hujan, 3 tajuk, 6  hadith, 
  • Menghadap qiblat, 6 tajuk, 15 hadith, 
  • Al-Qur’an, 10 tajuk, 49 hadith, 
  • Solat Jenazah, 16 tajuk, 59 hadith, 
  • Zakat, 30 tajuk, 55 hadith, 
  • Puasa, 22 tajuk, 60 hadith, 
  • I’tikaf, 8 tajuk, 16 hadith, 
  • Haji, 83 tajuk, 255 hadith.
Juz II: 
  • Jihad, 21 tajuk, 50 hadith, 
  • Nadhar dan sumpah, 9 tajuk, 17 hadith, 
  • Qurban, 6 tajuk, 13 hadith, 
  • Sembelihan, 4  tajuk, 19 hadith,
  • Bintang buruan, 7 tajuk, 19 hadith, 
  • Aqiqah, 2  tajuk, tujuh  hadith, 
  • Faraid, 15 tajuk, 16 hadith, 
  • Nikah, 22 tajuk, 58 hadith, 
  • Talaq, 35 tajuk, 109 hadith, 
  • Persusuan, 3  tajuk, 17 hadith, 
  • Jual beli, 49 tajuk, 101 hadith, 
  • Pinjam meminjam, 15 tajuk, 16 hadith, 
  • Penyiraman, 2 tajuk, 3 hadith, 
  • Menyewa tanah, 1 tajuk, 5  hadith, 
  • Syufa’ah, 2  tajuk, 4  hadith, 
  • Hukum, 41 tajuk, 54 hadith,
  • Wasiat, 10 tajuk, sembilan hadith, 
  • Kemerdekaan dan persaudaraan, 13 tajuk, 25 hadith, 
  • Hamba Mukatabah, 13 tajuk, 15 hadith, 
  • Hamba Mudharabah, 7  tajuk, 8 hadith, 
  • Hudud, 11 tajuk, 35 hadith, 
  • Minuman, 5 tajuk, 15 hadith, 
  • Orang yang berakal, 24 tajuk, 16 hadith, 
  • Sumpah, 5 tajuk, 2 hadith, 
  • Al-Jami’, 7 tajuk, 26 hadith, 
  • Qadar, 2 tajuk, 10 hadith, 
  • Akhlak yang baik, 4  tajuk, 18 hadith, 
  • Memakai pakaian, 8  tajuk, 19 hadith, 
  • Sifat Nabi SAW., 13 tajuk, 39 hadith,  
  • Mata, 7  tajuk, 18 hadith, 
  • Rambut, 5  tajuk, 17 hadith, 
  • Penglihatan, 2  tajuk, tujuh  hadith, 
  • Salam, 3  tajuk, 8  hadith,
  • Minta Izin, 17 tajuk, 44 hadith,
  • Bai’ah, 1  tajuk, 3  hadith, 
  • Kalam, 12 tajuk, 27 hadith, 
  • Jahannam, 1  tajuk, 2  hadith, 
  • Sadaqah, 3 tajuk, 15 hadith, 
  • Ilmu, 1 tajuk, 1  hadith, 
  • Dakwah orang yang teraniaya, 1 tajuk, 1  hadith, 
  • Nama-nama Nabi SAW, 1  tajuk, 1  hadis.
Kriteria Kitab dan Kualiti Hadith-Hadithnya
    
Secara umumnya, tidak ada pernyataan yang tepat tentang kriteria yang dipakai Imam Malik dalam menghimpun kitab Al-Muwatta’. Namun secara terperinci, dengan melihat paparan Imam Malik dalam kitabnya, cara yang dipakai adalah ciri ciri pembukuan hadith berdasar klasifikasi hukum Islam (abwab fiqhiyyah) dengan mencantumkan hadis marfu’ (berasal dari Nabi), mauquf (berasal dari sahabat) dan maqthu’ (berasal dari tabi’in).  Bahkan bukan itu sahaja, kita dapat melihat bahawa Imam Malik menggunakan susunan susunan berupa  
(a) pemilihan terhadap hadis-hadis yang disandarkan kepada Nabi, 
(b) Atsar/fatwa sahabat,. 
(c) fatwa tabi’in, 
(d) Ijma’ ahli Madinah dan 
(e) pendapat Imam Malik sendiri.
    
Meskipun kelima aturan tersebut tidak selalu muncul bersamaan dalam setiap pembahasannya, urutan pembahasan dengan mendahulukan penulusuran dari hadith Nabi yang telah dipilih merupakan acuan pertama yang dipakai Imam Malik, sedangkan proses kedua dan seterusnya dipaparkan Imam Malik apabila dirasakan perlu untuk dipaparkan.

Dalam hal ini empat kriteria yang dikemukakan Imam Malik dalam mengkritik periwayatan hadith adalah: 
(a) Periwayat bukan orang yang berperilaku jelek 
(b) Bukan ahli bid’ah 
(c) Bukan orang yang suka berdusta dalam hadis 
(d) Bukan orang yang tahu ilmu, tetapi tidak mengamalkannya.
    
Biarpun Imam Malik telah berupaya meneliti sehalus mungkin dalam menyaring hadith-hadith yang diterima untuk dihimpun, tetap saja para ulama hadith berbeza pendapat dalam memberikan penilaian terhadap kualiti hadith-hadithnya:

  • Sufyan ibn ‘Uyainah dan As-Suyuthi mengatakan, seluruh hadith yang diriwayatkan Imam Malik adalah sahih, kerana diriwayatkan dari orang-orang yang terpercaya
  • Abu Bakar al-Abhari berpandangan tidak semua hadith dalam Al-Muwatta’ sahih, 222 hadis mursal, 623 hadis mauquf dan 285 hadis maqthu’.
  • Ibn Hajar al-’Asqalani menyatakan bahawa hadith-hadith yang termuat dalam Al-Muwatta’ adalah sahih menurut Imam Malik dan pengikutnya.
  • Ibn Hazm dalam penilaiannya yang termaktub dalam Maratib al-Diyanah, ada 500 hadith musnad, 300 hadith mursal dan 70 hadis dha’if yang ditinggalkan Imam Malik.  Sedang menurut Ibn Hajar  di dalamnya ada hadith yang mursal dan munqati’.
  • Al-Gafiqi berpendapat dalam Al-Muwatta’ ada 27 hadith mursal dan 15 hadith mauquf.
  • Hasbi ash-Shiddiqi  menyatakan dalam Al-Muwatta’ ada hadith yang sahih, hasan dan da’if.

Harus diingat biarpun dalam Al-Muwatta’ tidak semuanya sahih, ada yang munqati’, mursal dan mu’dal. Banyak ulama hadis berikutnya yang mencuba mentakhrij dan me-muttasil-kan hadith-hadith yang munqati’, mursal dan mu’dal seperti Sufyan ibn Uyainah, Sufyan al-Tsauri, dan Ibn Abi Dzi’bi. Dalam pandangan Ibnu Abdil Barr dari 61 hadith yang dianggap tidak  muttasil semuanya sebenarnya musnad dengan jalur selain Imam Malik 

Kitab-kitab Syarahnya        
Kitab Al-Muwatta’ disyarahkan oleh beberapa ulama di antaranya:

  • Al-Tamhid lima fi Al-Muwatta’ min al-Ma’ani wa al-Asanid karya Abu Umar ibn Abdil Bar al-Namri al-Qurtubi ( w. 463 H)
  • Al-Istizkar fi Syarh Maz|ahib Ulama al-Amsar karya Ibn ‘Abdil Barr (w. 463 H.)
  • Kasyf al-Mugti fi Syarh Al-Muwatta’ karya Jalaluddin al-Suyuti (w. 911 H.)
  • Tanwirul Hawalik, karya Jalaluddin as-Suyuti (w. 911 H)
  • Syarah al-Ta’liq al-Mumajjad Al-Muwatta’ Imam Muhammad karya al-Haki ibn Muhammad al-Laknawi al-Hindi
  • Al-Muntaqa karya karya Abu Walid al-Bajdi (w. 474 H.).
  • Al-Maswa karya  al-Dahlawi al-Hanafi (w. 1176 H.)
  • Syarh al-Zarqani karya al-Zarqani al-Misri al-Maliki (w. 1014 H.)
Pendapat Para Ulama tentang Al-Muwatta’
Di antara ulama yang memberikan penilaian terhadap kitab Al-Muwatta’ adalah:
  • Asy-Syafi’i : “Di dunia ini tidak ada kitab setelah al-Qur’an yang lebih sahih daripada kitab Malik...”
  • Al-Hafiz al-Muglatayi al-Hanafi: “  Karya Imam Malik adalah kitab sahih yang pertama kali”
  • Ibn Hajar:” Kitab Malik sahih menurut Malik dan pengikutnya...”
  • Waliyullah al-Dahlawi menyatakan al-Muwatta’ adalah kitab yang paling sahih, masyhur dan paling terdahulu pengumpulannya.
Kritikan Orientalis terhadap al-Muwatta`
    
Di antara orientalis yang memberikan kritikan terhadap karya Imam Malik adalah Joseph Schacht. Schacht meragukan keaslian hadith dalam Al-Muwatta’, di antara hadith yang dikritiknya adalah tentang bacaan ayat sajdah dalam khutbah Jum’ah oleh Khatib:

عن هشام ين عروة عن أبيه أن عمر بن الخطاب قرأ سجدة وهو على المنبر يوم الجمعة فنزل فسجد الناس معه ثم قرأها يوم الجمعة الأخرى. فتهيأ الناس السجود فقال على رسلكم  إن الله ثم يكتبها علينا إلا أن نشأ فلم يسجد ومنهم أن يسجد.

Dalam pandangan Schacht, hadith tersebut putus sanadnya, padahal dalam riwayat Bukhari sanadnya bersambung. Menurutnya, dalam naskah lama kitab Al-Muwatta’ terdapat kata-kata “dan kami bersujud bersama Umar”. Kata-kata ini tidak pernah diucapkan oleh Urwah, hanya dianggap ucapannya. Oleh kerananya, dari pendekatan sejarah bererti naskah/teks hadith lebih dahulu ada, baru kemudian dibuatkan sanadnya. Sanad tersebut untuk kemudian dikembangkan dan diselidiki sedemikian rupa dan disebut berasal dari masa silam.  
    
Tuduhan Schacht tersebut dibantah oleh Muhammad Mustafa A’zami, teks tersebut adalah sesuai dengan naskah aslinya, karena naskah asli tulisan Malik tidak diketemukan. Para pensyarah Al-Muwatta’ seperti Ibnu ‘Abdil Barr dan az-Zarqani sama sekali tidak pernah menyinggung tentang adanya naskah lama seperti yang disebut Schacht. Secara umum Azami menyatakan apa yang dilakukan Schacht dalam penelitian keaslian sanad dengan mengambil contoh hadis-hadis yang terdapat dalam kitab Fiqh seperti Al-Muwatta’ Imam Malik, Al-Muwatta’ al-Syaibani dan al-Umm al-Syafi’i adalah tidak tepat, kerana pada umumnya ciri ciri yang dipakai dalam kitab-kitab fiqh ataupun sejarah tidak memberi data secara  lengkap turutan sanadnya, tetapi mencukupi menyebutkan sumbernya atau sebahagian sanadnya.
    
Hal lain yang dikritik Schacht adalah tentang 80 hadis dalam Al-Muwatta’ yang disebut “Untaian Sanad Emas”, Iaitu Malik-Nafi’-Ibnu Umar. Schact meragukan untaian sanad tersebut, alasannya usia Imam Malik terlalu muda (15 tahun). Apa mungkin riwayat dari anak usia 15 tahun diikuti banyak orang, sementara masih banyak ulama besar lain di Madinah. Alasan lainnya, Nafi’ pernah menjadi hamba sahaya dalam keluarga Ibnu Umar, sehingga kredibilitinya perlu dipertanyakan.
    
Hal tersebut disanggah Azami, Schacht dianggap keliru dalam menghitung usia Malik, seharusnya Schacht menghitung umur Malik saat Nafi’ wafat bukan dari tahun wafatnya Malik. Sehingga usia Malik saat itu adalah 20-24 tahun. Pada usia-usia tersebut bukan terlalu muda untuk dianggap sebagai seorang ulama. Adapun tentang  Nafi’ yang bekas hamba Ibnu Umar, sebenarnya itu tidak menjadi masalah kerana penerimaan seorang rawi yang paling penting adalah “dapat dipercaya”, dan Nafi dianggap orang yang paling dipercaya dalam meriwayatkan hadith dari Ibn Umar. Di samping dalam hal ini Nafi’ bukan satu-satunya orang yang meriwayatkan hadith Ibn Umar, sehingga bisa dijadikan pembanding dan mungkinkah ribuan rawi di perbagai tempat bersepakat berbohong untuk menyusun sanad tersebut?

Kesimpulan
    
Dari paparan di atas, ada beberapa perkara yang dapat dirumuskan :
1.    Kitab Al-Muwatta’ disusun Imam Malik atas usulan Khalifah Ja’far al-Mansur dan keinginan kuat dari dirinya yang berniat menyusun kitab yang dapat memudahkan umat Islam memahami  agamanya.
2.    Kitab Al-Muwatta’ tidak hanya menghimpun hadith Nabi SAW, tetapi juga memasukkan pendapat sahabat, Qaul Tabi’in, Ijma’ Ahlul Madinah dan pendapat Imam Malik. Menurut Fuad Abdul Baqi, Al-Muwatta’  memuatkan 1824 hadith dengan kualiti yang beragam dengan aturan penyusunan hadith berdasar klasifikasi hukum (abwab fiqhiyyah).              
3.    Tuduhan Joseph Schacht yang meragukan keaslian hadis dalam Al-Muwatta’ ditangkis oleh Mustafa al-A’zami. A’zami menolak  penelitian keaslian sanad hadith dengan mendasarkan pada kitab-kitab fiqih seperti al-Muwatta’ al-Syaibani, Al-Muwatta’ Imam Malik dan al-Umm al-Syafi’i.Nurun Najwah

Wallahua'lam . 

 

Disclaimer

Segala terbitan, rencana, artikel, gambar, rujukan, info, sketsa dan segala bentuk material lain adalah hanya sebagai bahan yang wa kumpul, salin, baca, dengar, tonton samada dari media internet ataupun televisyen dengan bertujuan untuk disimpan sebagai rujukan sendiri dan bukan bersifat komersial .

Wa berlepas diri dari pertanggungjawaban diatas segala maklumat, pandangan , coretan, kritikan dan ketepatan fakta yang mana benar sewaktu ia diterbitkan .. Pembaca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan lain sekiranya terdapat percanggahan yang meragukan .. harap maklum .. adios .. Karmic Luv Ye Oll ~!!

Sembang Sampai Lebam

FeedCount

Facebook Page

Statistik

Followers

| Karmic's © 2011. All Rights Reserved | Template Style by Karmic | Design by Planet Gedobah | Back To Top |